Anggota tentera hilang selepas jatuh sungai ketika latihan

Anggota tentera hilang selepas jatuh sungai ketika latihan

Anggota tinjau Kompeni PANDURA, Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, dipercayai hilang pada 4.40 petang semalam semasa menyertai fasa latihan taktikal menyeberangi Sungai Pahang.

Eksesais PARA Predator merupakan latihan berskala besar selama dua minggu yang diadakan di pesisir Sungai Pahang bermula Selasa lalu. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais PARA Predator di Kampung Batu Bor, Bera, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Pahang semalam.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini berkata, anggota tinjau Kompeni PANDURA, Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, dipercayai hilang pada 4.40 petang semalam semasa menyertai fasa latihan taktikal menyeberangi sungai itu.

“TDM menggerakkan anggota mencari dan menyelamat (SAR) sejak 4.50 petang semalam, sebelum ditangguhkan pada 7 malam hari sama ekoran keadaan semakin gelap. Setakat ini, operasi yang disambung hari ini belum menemui mangsa,” menurut kenyataan itu.

Operasi SAR turut disertai pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk setempat.

TDM berharap orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian itu serta menjaga perasaan keluarga mangsa.

Eksesais PARA Predator merupakan latihan berskala besar selama dua minggu bermula Selasa lalu. Ia adalah satu daripada eksesais TDM melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka dengan penglibatan hampir 1,900 pegawai dan anggota.

Latihan yang diadakan di pesisir Sungai Pahang itu juga bertujuan memberi pendedahan ancaman sebenar melalui latihan, gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar atur gerak TDM, selain mendidik serta berkongsi pengetahuan mengenai peranan tentera dalam aspek keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.