Segera beri 20,000 dos vaksin disumbang kepada penjaja, pekerja premis perniagaan, kata Guan Eng

Segera beri 20,000 dos vaksin disumbang kepada penjaja, pekerja premis perniagaan, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP itu berkata, ini dapat mempercepat pembukaan semula ekonomi.

Lim Guan Eng berkata, gangguan bekalan vaksin ketika ini menyebabkan ‘huru hara’ terhadap program vaksinasi Pulau Pinang dan usaha untuk membuka semula ekonominya.
PETALING JAYA:
Sumbangan 20,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac kepada Pulau Pinang harus segera diagihkan kepada semua penjaja dan pekerja premis perniagaan untuk mempercepat pembukaan semula ekonomi, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, gangguan terhadap bekalan vaksin “menyebabkan huru hara” dalam program vaksinasi di negeri itu, di mana Melaka mengatasi Pulau Pinang dari segi populasi dewasa yang lengkap vaksinasi.

Tambahnya, Pulau Pinang menerima 24,318 dos pada Jumaat, jauh bawah sasarannya, iaitu sekurang-kurangnya 30,000 vaksinasi harian bulan lalu.

“Pulau Pinang telah merekodkan angka tertinggi kematian sebanyak 38 orang pada 27 Ogos dan lonjakan mendadak jangkitan di Pulau Pinang terus meningkat tanpa terkawal,” katanya dalam kenyataan.

“Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan vaksinasi sebagai salah satu langkah yang paling efektif bagi meredakan kesan Covid-19.”

Mendakwa penduduk Pulau Pinang mulai menyalahkan kerajaan negeri, Lim berkata, EXCO kesihatan Pulau Pinang harus bekerja lebih keras untuk mencegah kelewatan vaksinasi, yang boleh menyebabkan lebih banyak kematian di negeri itu.

Awal minggu ini, diumumkan bahawa Selangor akan meminjamkan 200,000 dos kepada Pulau Pinang untuk mengatasi kekurangan yang disebabkan oleh gangguan dalam bekalan vaksin Pfizer. Ini akan dipulangkan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) apabila bekalan vaksin dipulihkan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut bersetuju untuk menyumbangkan tambahan 20,000 dos kepada Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.