Pekerja maut terjatuh, kilang terima notis larangan

Pekerja maut terjatuh, kilang terima notis larangan

Siasatan awal mendapati berlaku kecuaian bagi aktiviti kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran di kilang tersebut.

Mangsa yang berusia 45 tahun dikatakan telah memijak bahagian zink yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan mangsa jatuh dari ketinggian lebih kurang 18 kaki dari paras bumbung ke lantai. (Gambar JKKP)
BUTTERWORTH:
Satu notis larangan telah dikeluarkan terhadap sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Perai kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat hingga mengakibatkan kematian seorang pekerjanya, dalam kejadian dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hanisah Ahmad berkata notis itu dikeluarkan oleh pihaknya selepas siasatan awal dijalankan mendapati berlaku kecuaian bagi aktiviti kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran di kilang tersebut.

“Dalam kejadian 11.45 pagi Khamis itu, seorang lelaki tempatan yang sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran di kilang tersebut telah terjatuh sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang berusia 45 tahun dikatakan telah memijak bahagian zink yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan mangsa jatuh dari ketinggian lebih kurang 18 kaki dari paras bumbung ke lantai,” menurut kenyataan itu semalam.

Hanisah berkata JKKP Pulau Pinang telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya lokasi kejadian turut disita secara fizikal bagi memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu untuk siasatan selanjutnya dan majikan diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.