
Pengerusi Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan (PINTAS) Mohd Ali Ab Kadir, berkata ibu bapa berdepan cabaran membayar yuran bulanan ditetapkan kesan daripada wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Apabila ibu bapa tidak dapat membayar yuran, pusat tahfiz dan pondok juga terkesan kerana tidak mampu membayar gaji guru, bil air dan elektrik serta sewa bangunan dan urusan berkaitan.
“Hampir keseluruhan daripada 68 institusi itu di negeri ini hanya menerima bayaran yuran daripada ibu bapa sekitar 30 peratus, manakala segelintir daripadanya pula yang dapat membuat kutipan 50 peratus.
“Kita sedar dan faham, ramai yang sedang susah sekarang walaupun kebanyakan maahad tahfiz memberi diskaun, ibu bapa tetap sukar membayarnya kerana perlu memenuhi keperluan kehidupan yang lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, kebanyakan pusat berkenaan terpaksa ‘mencatu’ akaun masing-masing kerana keadaan kewangan yang mencemaskan, walaupun belum yang terpaksa ditutup.
Beliau berkata, setakat ini terdapat seramai 333 kakitangan atau guru yang berkhidmat dan walaupun ada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri membantu mengurangkan beban, ia hanya secara bayaran sekali (one-off).
Menurutnya, walaupun kadar gaji guru adalah rendah di mana terdapat tujuh daripada 68 institusi berkenaan yang membayar gaji kepada kakitangan mereka RM1,501 ke atas, manakala yang lainnya di bawah RM1,500, keadaan institusi itu sukar ketika ini.
“Kami tidak menafikan bantuan itu dapat meringankan beban institusi berkenaan namun ia tidak mencukupi ketika ini kerana semua pihak terkesan dengan Covid-19,” katanya.
Pada 24 Ogos lalu, lebih separuh daripada keseluruhan maahad tahfiz di Perak dilaporkan hanya mampu bertahan maksimum tiga bulan sahaja lagi.
Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Perak (Pematap) Mohd Azlan Suhaimi, berkata jumlah itu berdasarkan kaji selidik pihaknya kepada maahad tahfiz melalui ‘google form’, pada 28 Mei lalu, berkaitan situasi maahad tahfiz swasta sepanjang PKP 3.0.
Katanya, seperti sedia maklum Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini mengeluarkan surat penangguhan operasi maahad tahfiz berkuat kuasa serta merta pada 31 Mei lalu.
“Kaji selidik berkenaan disertai oleh 102 maahad tahfiz, kesimpulannya 60 daripada 102 maahad tahfiz hanya mampu bertahan tiga bulan dan ke bawah sahaja,” katanya.