
Katanya, saringan kontak rapat menyumbang 62.26% atau 1,605 daripada 2,578 kes baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini.
”Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 1,605 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, selain kontak rapat, 28.78% atau 742 kes baharu yang dicatatkan hari ini adalah daripada saringan bergejala manakala saringan daripada kluster sedia ada hanya mencatat 30 kes.
Katanya, Kota Kinabalu merekodkan peratusan saringan bergejala paling tinggi iaitu 42.5% atau 249 kes.
Terdahulu, beliau berkata sebanyak 2,578 kes baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 142,939 kes.
Katanya, 46 lagi kes kematian turut direkodkan iaitu 11 kes di Tawau, 10 kes di Kota Kinabalu, sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Tuaran dan Keningau, masing-masing dua kes di Kinabatangan, Penampang dan Kalabakan manakala Papar, Kudat, Putatan dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
”Jumlah pesakit Covid-19 yang telah sembuh dan discaj daripada hospital hari ini pula ialah seramai 1,722 orang menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 109,311.
”Sementara itu, seramai 5,003 pesakit masih menerima rawatan iaitu 1,487 di hospital, 3,457 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), 50 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara manakala sembilan lagi di fasiliti swasta.
”Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 214 orang dan 75 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.