
“Alhamdulillah, dia akan dihadapkan ke mahkamah sejak sekian lama, bersama dengan seorang lagi rakyat Malaysia ditahan. Kami menunggu terlalu lama, lebih-lebih lagi terhadap seorang yang ditahan begitu lama tanpa perbicaraan adalah tidak adil,” kata jurucakap keluarga berkenaan yang enggan dikenali.
“Kami berdoa kepada Tuhan agar kes membabitkan dirinya dibersihkan dan dia dibenar kembali ke pangkuan keluarga. Tempoh 15 tahun itu cukup lama. Ibunya yang meninggal dunia pada 2009 sangat merinduinya,” katanya kepada FMT.
Beliau berharap, apa sahaja keputusan diputuskan mahkamah, Nazir akan dibawa pulang ke Malaysia dan tidak dibiarkan menderita menjadi tahanan di pusat tahanan Guantanamo, di Cuba, yang dikawal ketat Amerika Syarikat.
Terdahulu, laporan memberitahu, dua suspek pengganas berasal dari Malaysia akan dibicarakan, pada esok, di Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Guantanamo Bay, Cuba, atas tuduhan terbabit dalam serangan nekad bom di Indonesia, lebih 19 tahun lalu.
Nazir dan Mohammed Farik Amin, yang ditahan di pusat tahanan Guantanamo Bay di Cuba sejak 2006, bersama seorang lagi suspek pengganas dari Indonesia, Encep Nurjaman, atau lebih dikenali sebagai Hambali, didakwa menjadi dalang utama kejadian pengeboman berkenaan.
Menurut kertas pertuduhan dimuat naik di Pejabat Suruhanjaya Tentera Amerika Syarikat, Nazir dan Farik, berdepan sembilan tuduhan, manakala Hambali dengan lapan tuduhan, berkaitan pembabitan mereka dalam serangan pengganas di Bali, pada November 2002 dan Jakarta, pada Ogos 2003.
Pakar anti pengganas dan pemulihan militan yang juga penolong profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-UIAM), Dr Ahmad Muhammady, yang sebelum ini mendesak kedua-dua mereka dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin, mengalu-alukan perkembangan terbaharu itu walaupun tindakan membawa mereka ke mahkamah boleh dilakukan lebih awal.
Katanya, kedua-dua defendan mempunyai peluang melaporkan cerita di pihak mereka, selain menjelaskan dakwaan pembabitan dalam aktiviti yang didakwa memberi ancaman kepada Amerika Syarikat.
“Perbicaraan ini sepatutnya berlangsung sudah lama. Ia sudah menyebabkan terlalu banyak kerosakan kepada reputasi Amerika Syarikat sebagai pembela hak asasi manusia. Fasiliti penjara Guantanamo sebelum ini terpalit dengan sejarah pencabulan hak asasi manusia,” katanya kepada FMT.
Ahmad yakin perbicaraan itu akan menghasilkan kesan positif terhadap tahanan dan kepada Amerika Syarikat, berikutan ia akan memberi jawapan tuntas dan kesannya kepada kedua-dua tertuduh.
“Saya percaya Presiden Joe Biden komited untuk mencari penamat kepada episod ini dan bergerak ke hadapan untuk melihat agenda yang lebih penting. Biden mewarisi masalah ini daripada pendahulunya,” katanya.
Ahmad berkata, adalah lebih baik bagi sekiranya kedua-dua tertuduh dihantar pulang ke negara asal untuk menjalani hukuman selepas mengambil kira kemungkinan penutupan Guantanamo.
“Malaysia dan Indonesia mempunyai pengalaman luas dalam menangani tahanan berprofil tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Normah Ishak, mengalu-alukan keputusan Amerika Syarikat mendakwa kedua-dua suspek, sambil menyatakan keadilan pasti ditegakkan melalui perbicaraan mahkamah.