Keanggotaan Lembaga Pengurusan universiti awam perlu bebas daripada lantikan politik, kata PH

Keanggotaan Lembaga Pengurusan universiti awam perlu bebas daripada lantikan politik, kata PH

Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) berkata keanggotaan dalam Lembaga itu juga perlu dihadkan kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan.

JKPPH berkata, reformasi pengajian tinggi itu juga mendesak kerajaan menubuhkan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).
PETALING JAYA:
Keanggotaan Lembaga Pengurusan Universiti Awam perlu bebas daripada sebarang lantikan politik demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, kata Pakatan Harapan.

Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) dalam satu kenyataan berkata keanggotaan dalam Lembaga itu juga perlu dihadkan kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan.

JKPPH berkata, reformasi pengajian tinggi itu juga mendesak kerajaan menubuhkan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).

“JKPPH dengan tegas memohon agar cadangan-cadangan ini dipertimbang oleh Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) termasuk Menteri Kanan Pendidikan (Radzi Jidin) dan Menteri Pengajian Tinggi (Noraini Ahmad) bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku di negara kita,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Mengenai reformasi pendidikan dasar, JKPPH turut menggesa kerajaan melaksanakan semula ‘Program Sarapan Pagi’ percuma kepada setiap murid di sekolah seperti mana yang pernah direncanakan pada 2019 apabila sekolah dibuka semula tidak lama lagi.

“Ini akan dapat membantu keluarga yang kini ramai tergolong dalam B50, dan juga dapat membantu pengusaha kantin sekolah serta pembekal makanan basah ke kantin-kantin sekolah,” katanya.

Selain itu, JKPPH berkata, kerajaan perlu memberi insentif khas kepada guru dalam bentuk ‘one-off’ atau pengecualian cukai di atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Malah, jawatanluasa itu berpendapat pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu Covid-19 hendaklah diturunkan kepada peringkat sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan persetujuan ibu bapa.

“Sebarang keputusan yang dibuat juga hendaklah berdasarkan sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kementerian Pendidikan hendaklah mempunyai pakar rujukan utama berhubung sains dan data dengan melantik pakar-pakar dari hospital-hospital Universiti Awam sebagai rujukan utama. Elakkan keputusan pukul rata atau ‘one size fits all’,” katanya.

JKPPH dianggotai oleh tujuh Ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.