Azalina layak naik pangkat jadi Speaker, kata Shabery Cheek

Azalina layak naik pangkat jadi Speaker, kata Shabery Cheek

Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen Pengerang meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Sekiranya Azalina dilantik Speaker Dewan Rakyat ia boleh membawa kepada reformasi sistem demokrasi demi meletakkan Parlimen negara ini berada pada kelas dunia, kata Ahli Majlis Tertinggi Ahmad Shabery Cheek. (Gambar Parlimen)
PETALING JAYA:
Azalina Othman Said layak diangkat menjadi Speaker Dewan Rakyat susulan kualitinya sebagai seorang demokrat dan tidak mudah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek.

Ketika ini, Speaker Dewan Rakyat diisi bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Pada 23 Ogos lalu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, atas alasan supaya kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih ruang menetapkan semula Dewan Rakyat agar berfungsi sebagai forum bagi persaingan dan kerjasama profesional antara parti mengenai dasar dan tadbir urus.

Ahmad Shabery berkata, masih tidak terlambat sekiranya kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memikirkan peranan lebih besar untuk digalas Azalina.

“Dari timbalan speaker (Azalina) patut diangkat menjadi Speaker. Mesti dimulakan untuk sesi bulan depan ini.

“Reformasi sistem demokrasi kita mesti bermula dari Parlimen kita sendiri. Parlimen yang kita lihat sekarang perlukan banyak pembaharuan untuk menuju satu tahap baru bagi meletakkan Parlimen kita ke kelas dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahmad Shabery berkata, ketika ini Parlimen terlalu banyak melakukan perbahasan, walhal bagi pembuat undang-undang sepatutnya lebih banyak kerja di peringkat lebih kecil, namun mendalam.

“Misalnya, kerja-kerja di peringkat pelbagai Jawatankuasa Parlimen atas sesuatu hal. Perlunya ada pendengaran awam terhadap sesuatu dasar yang memerlukan pemurnian yang lebih halus.

“Semuanya ini, memerlukan seorang ketua Parlimen dinamik, seorang demokrat dan tidak mudah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, demokrasi memerlukan pendidikan menyeluruh, termasuk melahirkan lebih ramai demokrat.

“Mesti membudaya dalam semua segi. Bukan soal menang kalah pilihan raya semata-mata,” katanya.

Katanya, Parlimen bukan hanya punca kuasa untuk terus mencari kuasa, bahkan ia adalah ‘sekolah’ bagi mengajar erti kebertanggungajawaban di atas amanah diterima.

“Speaker bukannya hanya pekerjaan kerana duduk di kerusi speaker. Ia adalah tangungjawab untuk membawa perubahan. Untuk Malaysia tercinta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.