Polis berkas pasangan kekasih dera 3 kanak-kanak

Polis berkas pasangan kekasih dera 3 kanak-kanak

Tiga batang rotan pelbagai saiz di dalam rumah pasangan kekasih berusia 30 dan 38 tahun itu turut dirampas, dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap tiga kanak-kanak berusia lingkungan empat tahun sehingga tujuh tahun. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Polis memberkas seorang ibu tunggal dan kekasihnya selepas dipercayai mendera tiga anaknya di kediaman mereka di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Fakhrudin Abdul Hamid berkata polis menerima laporan pada jam 6.30 petang kelmarin daripada wanita berusia 45 tahun mengenai kes penderaan kanak-kanak oleh seorang penghuni di pangsapuri sama.

“Pada Isnin lalu, dia pergi ke unit kediaman berkenaan untuk pemeriksaan dan pengesahan berkenaan aduan yang diterima dan mendapati kediaman itu dihuni oleh seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya dan juga teman lelakinya warga tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Fakhrudin berkata, wanita itu menasihati ibu tunggal terbabit supaya tidak memukul anaknya dan suspek menyerahkan anaknya perempuannya berusia empat tahun untuk dijaga wanita itu.

“Hasil pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak berkenaan mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di anggota badan mangsa.

“Wanita terbabit bawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu rumah berkenaan pada jam 4 petang semalam.

“Siasatan mendapati sepasang kekasih itu berusia 30 dan 38 tahun dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah menjumpai dan merampas tiga batang rotan pelbagai saiz dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyelamatkan dua lagi anak wanita berkenaan berusia enam dan tujuh tahun dalam serbuan itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki akibat penderaan dan mereka dibawah ke PPUM untuk rawatan lanjut dan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Fakhrudin berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap tiga kanak-kanak berusia lingkungan empat tahun sehingga tujuh tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.