Pastikan kestabilan, bentuk dasar mantap, kerajaan diberitahu

Pastikan kestabilan, bentuk dasar mantap, kerajaan diberitahu

Negara perlu kerajaan yang stabil dan rangka kerja dasar yang mantap untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan awam.

Penjual dan pembeli di pasar basah. Sebuah kumpulan pengguna memuji usaha kerajaan memantau harga barang keperluan.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pengguna menggesa kerajaan baharu agar menumpukan perhatian kepada kestabilannya dan membentuk dasar yang mantap untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan pengguna di negara ini.

“Pada masa ini, terdapat defisit kepercayaan dan ini mempengaruhi keyakinan,” kata Setiausaha Agung Gerakan Pengguna Malaysia Sukhdave Singh.

Katanya, negara memerlukan kerajaan yang stabil dan rangka kerja dasar yang mantap untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan awam.

“Ribuan, jika bukan jutaan, terkesan dengan wabak yang sedang melanda, dan ‘permainan’ politik baru-baru ini tidak membantu,” katanya kepada FMT.

“Kita mahu kerajaan baharu stabil dan ditadbir oleh individu berwibawa dan berkebolehan yang cakap serupa bikin. Kita mahu insiden rasuah pada tahap minimum.”

Sukhdave memuji Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana memantau harga barang keperluan, dan berkata, usaha ini patut diteruskan.

Beliau meminta diskaun lebih tinggi bagi penggunaan elektrik dan perkhidmatan Internet domestik, sambil berkata, lebih ramai orang kini bekerja di rumah dan penggunaan makin meningkat.

Katanya lagi, moratorium pinjaman tanpa faedah juga mesti diberikan secara automatik kepada golongan yang terkesan secara langsung dengan wabak.

“Persoalan mengenai kebolehlaksanaan moratorium tidak sepatutnya timbul pun,” katanya.

“Bank-bank mengisytiharkan keuntungan berbilion selama bertahun-tahun dan masih membuat keuntungan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Saravanan Thambirajah bersetuju, dengan berkata, moratorium bank dan insurans mesti diberikan sekurang-kurangnya hingga Julai tahun depan bagi mereka yang memerlukannya.

Katanya, banyak sektor memerlukan masa untuk pulih daripada wabak, dan kadar faedah gadai janji dan sewa beli harus dikurangkan untuk mendorong orang berbelanja.

Harga makanan juga patut diturunkan, tambahnya.

“Ramai rakyat Malaysia terjejas akibat wabak, justeru jaring keselamatan yang kukuh diperlukan bagi golongan B40 dan M40,” katanya.

“Kerajaan baharu harus menggunakan peruntukan penuh Akta Persaingan 2020 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 untuk mengambil tindakan tegas ke atas pedagang dalam rantai bekalan yang mengamalkan sebarang bentuk tingkah laku bersifat monopoli.”

Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 juga harus diberi bantuan jangka panjang, kata Saravanan.

“Masa depan (kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa) kelihatan suram kerana mereka tidak mendapat sokongan yang sewajarnya.

“Oleh itu, pelan kehidupan dan pendidikan mesti diperkenalkan kepada mereka yang terkesan oleh kematian dalam keluarga,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan agar mempertimbangkan untuk menurunkan cukai pendapatan untuk meningkatkan daya beli dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.