
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, diharapkan buat masa ini tiada masalah politik ditimbulkan mana-mana pihak sehingga mengganggu pentadbiran diketuai Ismail Sabri Yaakob.
“Saya mencadangkan supaya parti serpihan Umno kembali bersatu dan jika boleh bubarkan parti lain, dan kita sama-sama bersama Umno untuk bina kerajaan ini.
“Dahulu, ada pihak kata tidak mahu sokong sebab kluster mahkamah dan sebagainya, namun kali ini kita memilih perdana menteri dan pemimpin bersih yang diterima rakyat,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bantuan Bakul Makanan Semangat Prihatin, Keluarga Kita Keluarga Malaysia di Masjid Jamek Badlishah dekat Yan, Kedah.
Zahidi berkata, beliau berharap dalam tempoh terdekat ini semua pihak memberi sokongan dan kerjasama untuk kerajaan menumpukan kepada usaha mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Kerajaan baharu ini akan lebih menumpukan kepada penyelesaian ekonomi, Covid-19 dan kebajikan rakyat.
“Jadi kita harap, ahli politik tak timbulkan masalah pasal benda yang lepas kerana kita sekarang sudah ada kerajaan dan Kabinet baharu,” katanya.