Mangsa banjir di Perak kini cuma 50 orang

Mangsa banjir di Perak kini cuma 50 orang

Semua mangsa kini masih ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu setakat 7 malam, semalam.

Sebuah PPS di daerah Kerian iaitu di SK Changkat Lobak yang menempatkan 110 daripada 26 keluarga ditutup sepenuhnya pada kira-kira 5 petang semalam.
IPOH:
Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian berkurangan kepada 50 orang daripada 17 keluarga malam tadi berbanding 160 orang daripada 43 keluarga pagi Jumaat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata semua mangsa kini masih ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu setakat 7 malam, semalam.

“Sementara itu, sebuah lagi PPS di daerah berkenaan iaitu di SK Changkat Lobak yang menempatkan 110 daripada 26 keluarga ditutup sepenuhnya pada kira-kira 5 petang,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Yayasan Setia Negara, sebuah badan bukan kerajaan, turut turun padang dengan menghantar sukarelawan untuk membantu mangsa terbabit bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, banjir lapan hari di Mukim Beriah, Alor Pongsu, memberikan kesan buruk seperti kediaman dipenuhi kotoran dan lumpur selain mengakibatkan kerugian termasuk kepada seorang penternak ayam Mohammad Nasir Ismail, 41.

Nasir berkata 24 ekor ayam kampung dan kacukan Arab bernilai hampir RM1,500 yang diternaknya hilang atau mati dibawa arus deras pada Jumaat lepas.

“Dalam beberapa jam sahaja, air naik mendadak dan menenggelamkan reban ayam malah ada juga ayam baka Arab yang mati dimakan ular sawa,” katanya yang menjual ternakan itu di Taiping, Kuala Kangsar dan Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.