Gerakkan KVDT2 semula, kesatuan pekerja gesa PM

Gerakkan KVDT2 semula, kesatuan pekerja gesa PM

Sebarang kelewatan lagi hanya akan menambah kos keseluruhan.

Kesatuan pekerja KTMB berkata, penangguhan KVDT2 akan membantutkan kemajuan KTMB.
PETALING JAYA:
Kerajaan baharu mesti berhenti menangguhkan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) dan kembali ke meja rundingan dengan kontraktor projek itu, kata kesatuan pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, ini harus menjadi keutamaan bagi Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan baharu tidak boleh mengikut cara pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) terdahulu menguruskan projek rangkaian kereta api berkenaan.

“Harapan kami bagi kerajaan baharu adalah supaya perubahan dasar dibuat dengan lebih berani, dengan menyingkirkan apa yang tidak berkesan. Ini termasuk dasar-dasar yang mengancam keselamatan,” katanya kepada FMT.

Projek KVDT2 terkait dengan kes mahkamah setelah kerajaan membatalkan kontrak yang diberikan kepada Dhaya Maju-LTAT pada awal 2018.

Projek ini sudah dua kali ditangguhkan.

Pada mulanya, pentadbiran PH membatalkan pemberian kontrak berkenaan atas alasan kos. Kontrak itu diberikan semula kepada kontraktor pada Julai 2019 setelah kerajaan PH mengakui tiada alasan untuk menamatkannya, namun kosnya dikurangkan berikutan pengurangan skop kerja.

Bagaimanapun, September lalu, pentadbiran PN menamatkan kontrak syarikat itu sekali lagi, dan tindakan ini menimbulkan pertikaian yang dibawa ke mahkamah.

Ini mengakibatkan kelewatan projek, menjadikan sebahagian daripada rangkaian kereta api itu tidak selamat.

“Proses pengadilan akan memakan masa yang lama, itulah sebabnya saya meminta kerajaan untuk berunding kembali dengan kontraktor dan sekali lagi mengkaji penamatan kontrak berkenaan. Ini untuk memastikan projek dapat berjalan dengan lancar.

“Bagaimanakan, jika proses perundangan diteruskan, bukan sahaja kelewatan akan berlarutan, malah kemajuan KTMB akan terbantut.

Rosli Azad Khan.

“Saya harap perdana menteri baharu akan membuat perubahan yang mengutamakan keselamatan rakyat,” katanya.

Perunding perancangan pengangkutan veteran Rosli Azad Khan yakin penubuhan kerajaan baharu tidak akan mempengaruhi proses perundangan yang sedang berjalan.

Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan baharu mengambil tindakan sama dengan kerajaan terdahulu, projek ini akan mengalami lebih kelewatan, sekali gus menambah kos keseluruhan.

“Apabila analisis kewangan dilakukan, termasuk kehilangan peluang menjana hasil daripada orang ramai yang menggunakannya, ditambah dengan kos tambahan yang perlu ditanggung orang ramai berpunca daripada kelewatan seperti ini, kerugian secara keseluruhan sangat besar.

“Masalah ketiadaan ketelusan ini merugikan dari segi pembiayaan projek kepada kerajaan dan kos berkait kelewatan projek kepada rakyat dan negara.

“Namun, saya tidak yakin ia dapat dicapai dengan menteri sekarang,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.