
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata berkata sekiranya inisiatif dan peruntukan yang dibentangkan tidak memenuhi hasrat rakyat serta pemain industri dan pelabur, keyakinan mereka akan kekal rendah.
“Sentimen pelabur mungkin akan lebih nampak ketara apabila pembentangan RMK12 dan Belanjawan 2022 dilakukan. Itu merupakan ujian yang sebenarnya bagi Jemaah Menteri baharu ini.
“Oleh itu, segala maklum balas dari semua pihak adalah amat penting untuk memastikan bahawa RMK12 dan Belanjawan 2022 menjadi satu pelan yang amat komprehensif, berimpak tinggi dan mampu menjadi ‘exit strategy’ yang amat berkesan kepada negara,” katanya kepada FMT.

Menyentuh mengenai pelantikan semula Tengku Zafrul Aziz ke portfolio Menteri Kewangan, Razman berkata, ramai pihak menerima keputusan itu dengan sentimen yang bercampur-campur.
Ini kerana katanya, terdapat inisiatif di bawah senator itu yang mendapat pujian antaranya Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
Namun, katanya, latar belakang Tengku Zafrul sebagai pegawai bank menyebabkan keutamaan diberi kepada kemampanan bank komersial berbanding perniagaan mikro, kecil dan sederhana.
“Buktinya, pemberian moratorium yang terkini masih mengenakan faedah terakru walaupun semua bank komersial masih mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM26 bilion tahun lepas,” katanya yang mahu Tengku Zafrul lebih menumpukan usaha membantu usahawan PKS bagi mengelakkan lebih ramai gulung tikar.
LAKSANA ditubuhkan pada 16 Mac bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020).
Mengulas lanjut, Razman berkata, walaupun agak kecewa dengan perubahan yang amat minimum dalam senarai Jemaah Menteri diumumkan semalam, beliau beranggapan tindakan mengekalkan tiga menteri utama yang bertanggungjawab terhadap kewangan, ekonomi dan industri mampu meneruskan dasar sedia ada di samping meneruskan penambahbaikan di bawah kementerian masing-masing.
Mereka yang dilantik semula ke jawatan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin ialah Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan, Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Ekonomi]).

“Ketiga-tiga menteri ini harus memfokuskan sepenuhnya kepada pembentangan Pra-Bajet, RMK12 dan Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen sepanjang dua bulan akan datang ini. Ini penting untuk mengembalikan keyakinan pelabur ke atas usaha kerajaan memulihkan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang turut senada dengan Razman berkata pelantikan semula Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan dapat meredakan kebimbangan pemain industri terhadap dasar fiskal negara.
“Pengumuman barisan kabinet ini seharusnya memberi kejelasan dari sudut hala tuju negara untuk memerangi wabak Covid-19 serta proses untuk membuka ekonomi.
“Dan pemilihan Zafrul ke portfolio lama beliau seharusnya dapat meredakan kebimbangan tentang dasar fiskal yang bakal dilaksanakan terutamanya dari sudut pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.