100 hari untuk bukti prestasi ‘berat’ bagi sesetengah menteri

100 hari untuk bukti prestasi ‘berat’ bagi sesetengah menteri

Kebanyakan menteri tidak melakukan banyak perkara dalam masa satu setengah tahun yang lalu, kata pemerhati politik.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu dalam pentadbirannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Para pemerhati politik menyuarakan keraguan sama ada beberapa menteri dan timbalannya dapat membuktikan prestasi dalam masa 100 hari, seperti dituntut perdana menteri baharu.

Mengulas kenyataan Ismail Sabri Yaakob semalam, mereka berkata, ia adalah tugas berat bagi para menteri yang tidak menunjukkan prestasi baik.

Kenneth Cheng daripada Agora Society mendakwa, kebanyakan menteri tidak melakukan banyak perkara dalam masa satu setengah tahun yang lalu.

Katanya, harapan rakyat tinggi sebelum barisan Jemaah Menteri diumumkan, namun banyak menteri, termasuk yang tidak menonjol, dikekalkan.

Beliau berkata, tempoh 100 hari yang diberi Ismail kepada para menteri mungkin hanya untuk mempengaruhi persepsi rakyat, tanpa menetapkan sebarang pencapaian khusus,

Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway berkata, masyarakat umum akan memerhatikan sama ada kementerian-kementerian dapat bekerjasama untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 dan menggerakkan ekonomi.

Beliau berkata, prestasi para menteri akan diukur menerusi cara mereka membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19, and apa yang mereka akan buat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berada di ambang keruntuhan.

“Terdapat kegagalan untuk membantu keluarga-keluarga miskin dan PKS walaupun dengan beberapa pakej rangsangan,” tambahnya.

Katanya lagi, semua perhatian akan tertumpu kepada betapa berkesan dan mesra rakyatnya Belanjawan 2022.

Anggota Gerakan Bendera Hitam Mohammad Alshatri berkata, rakyat akan meneliti barisan baharu berkenaan untuk melihat betapa seriusnya ia akan memenuhi permintaan rakyat untuk pembaharuan.

Katanya, bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, telah menjanjikan pembaharuan yang merangkumi had tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal dan pelaksanaan undang-undang antilompat parti.

Beliau juga berkata, sangat penting Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang telah lama dijanjikan, ditubuhkan.

“Kerajaan baharu juga haru mengukuhkan demokrasi berparlimen menerusi jawatankuasa pilihan untuk menangani isu-isu mendesak,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.