
Mengulas mengenai penyebaran sebuah video bertema Merdeka baru-baru ini, pengarah program Pusat Komas, Ryan Chua berkata, “tindak balas pantas bersifat defensif” terhadapnya menunjukkan bahawa ini adalah masa yang sesuai bagi perbincangan yang telus.
Katanya, video tersebut mungkin menjadi tular disebabkan kenyataan di dalamnya yang bersifat rasis dan menganjurkan stereotaip mengenai kaum India dan Cina.
Rakyat berbangsa India dan Cina percaya bahawa kaum mereka sedang “diserang”, tambahnya.

“Pada pendapat kami, sebab rakyat Malaysia bersikap defensif mengenai video ini adalah topik rasisme dan stereotaip selalunya dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan,” katanya.
“Sangat penting untuk rungkai stereotaip dan prejudis yang diterapkan sejak kecil kerana ia akan dibawa sehingga ke zaman dewasa, inilah sebabnya perbincangan secara terbuka diperlukan, walaupun mungkin menyakitkan bagi semua.”
Dalam video bertajuk “Mak, Dah Siap!” itu, seorang bapa berbangsa Melayu menggunakan istilah menghina dan bersifat stereotaip terhadap kaum India dan China, seperti “gangster” dan “pemandu mabuk”.
Isterinya pantas menyangkalnya, tetapi anak mereka kemudian mengulangi istilah yang digunakan bapanya dalam sebuah lukisan.
Di penghujung video itu, kanak-kanak lelaki berkenaan berkata, “Saya tidak lahir dengan sikap perkauman tetapi saya diajar.”
Ahli sosiologi Denison Jayasooria bersetuju dengan pandangan Chua mengenai perlunya perbincangan terbuka dan berkata, pemimpin politik dan masyarakat harus berada di barisan hadapan dalam perbahasan ini.

“Kita perlu bersemuka dengan ahli politik yang menggunakan bangsa dan agama dan mesti ada kumpulan Parlimen mengenai etika dan integriti bagi Ahli Parlimen di dalam dan di luar Parlimen,” katanya.
Walaupun video tersebut dikecam kerana menggunakan bahasa yang bersifat rasis, Jayasooria berkata, nilai kejutannya dimaksudkan untuk menggambarkan petikan penting daripada autobiografi Nelson Mandela pada 1994, “Long Walk to Freedom”.
Memetik Mandela, beliau berkata: “Tiada seorang pun yang dilahirkan membenci orang lain atas warna kulit atau latar belakangnya atau agamanya. Manusia mesti belajar rasa benci dan jika mereka dapat belajar membenci, mereka dapat diajar untuk mencintai kerana cinta datang secara semula jadi dalam hati manusia, berbanding sebaliknya.”
“Jika kita hanya guna petikan ini, kita takkan dapat sebarang reaksi. Namun video ini mendatangkan reaksi dan ia bagus.”
Iklan berdurasi satu minit itu disiarkan di platform media sosial sejak 22 Ogos lalu sempena Kempen Bulan Kebangsaan 2021, namun setelah menerima kecaman, ia telah diturunkan.