Samun bersenjata, mahkamah kekal hukuman penjara, sebatan pengutip hutang

Samun bersenjata, mahkamah kekal hukuman penjara, sebatan pengutip hutang

Mahkamah Rayuan berkata, tindakan M Gerbagaran mengacukan pisau ke leher mangsa mengakibatkan trauma.

M Gerbagaran dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan atas kesalahan samun bersenjata. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pengutip hutang yang baharu dilepaskan dari penjara, ditahan semula atas kesalahan samun dua tahun sebelumnya.

Pada 4.30 petang 17 Jan 2016, M Gerbagaran dan rakannya melakukan samun bersenjata terhadap Chin Li Ying di pangsapuri mangsa di Damansara Damai. Polis mengambil kesan cap jari di tempat kejadian, namun tidak dapat menangkap suspek.

Gerbagaran, 40, kemudian ditahan atas kesalahan lain dan dipenjarakan.

Selepas selesai menjalani hukuman penjara untuk kesalahan kedua itu, polis mendapati cap jari daripada rekod lampau itu sama dengan kes Chin disamun. Susulan itu, Gerbagaran ditahan bagi kesalahan samun bersenjata pada 30 Jan 2018.

Selain itu, Chin juga berjaya mengenal pasti Gerbagaran ketika kawad cam.

Mahkamah Sesyen pada 4 Feb 2018 menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Dia kemudian mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan, namun ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.

Dalam keputusannya, hakim Suraya Othman yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Gerbagran mengacukan pisau di leher Chin ketika menyamunnya.

“Mangsa pasti trauma dengan kejadian itu dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen tidak keterlaluan,” katanya.

Turut bersidang bersamanya, Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Ahmad Zaidi Ibrahim.

Menurut fakta kes, Gerbagaran mengawasi mangsa ketika rakannya menggeledah rumah Chin.

Mereka melarikan barangan berharga, termasuk telefon bimbit dan wang tunai RM500, selain kad pengenalan serta lesen memandu Chin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Azyan Mohd Akhir, manakala peguam Arun Kasi mewakili Gerbagaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.