RMK12 akan tetap hala tuju ekonomi, kata Tok Pa

RMK12 akan tetap hala tuju ekonomi, kata Tok Pa

Mustapa Mohamed berkongsi penekanan mengenai RMK12 selepas pelantikannya menyandang semula tugas sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi).

Mustapa Mohamed berkata barisan Jemaah Menteri dan timbalan menteri akan berganding bahu memastikan agenda budaya kerja prestasi tinggi yang dibawa oleh perdana menteri dapat dijayakan.
KUALA LUMPUR:
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi, akan menetapkan hala tuju ekonomi negara untuk jangka sederhana dan panjang, kata Mustapa Mohamed.

Beliau berkongsi penekanan mengenai RMK12 itu selepas pelantikannya bagi menyandang semula tugas sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) dalam barisan Jemaah Menteri baharu diumumkan, hari ini.

“Saya percaya kombinasi barisan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mampu melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan efisien demi kesejahteraan rakyat serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Mustapa turut menyifatkan pelan itu sebagai kesinambungan terhadap asas yang dibina oleh Perdana Menteri Kelapan Muhyiddin Yassin.

“Insya-Allah, barisan Jemaah Menteri dan timbalan menteri ini akan berganding bahu untuk memastikan agenda budaya kerja prestasi tinggi yang dibawa oleh perdana menteri dapat dijayakan,” kata beliau.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Jeli itu juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ismail kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk terus melaksanakan tugas sebagai menteri dalam portfolio itu.

“Sesungguhnya ini adalah satu amanah besar untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.