
Persekutuan itu berkata, faktor ekonomi, situasi Covid-19 dan pembentangan bajet akan datang adalah antara perkara penting yang perlu ditangani.
“Kita tidak perlu mengambil risiko melakukan perubahan besar kerana berkemungkinan mengganggu perancangan yang sudah dilaksanakan,” kata presidennya, Syed Hussain Syed Husman, dalam kenyataan.
Katanya, barisan Kabinet baharu mesti menyediakan kesinambungan dan konsistensi demi menjamin kecekapan dalam segala usaha memulihkan ekonomi negara dan mengurangkan kesan Covid-19.
Syed Hussain berkata, majikan ketika ini berdepan isu peningkatan Covid-19 dalam kelembapan ekonomi, yang menyaksikan banyak perniagaan terjejas teruk, sekali gus menjurus kepada peningkatan pengangguran.
“Kita berharap wujudnya kestabilan politik jadi menteri dapat menumpukan usaha menangani isu kritikal,” katanya.
Syed Hussain turut menyatakan harapan menteri baharu akan berhubung dengan pemegang taruh dalam usaha mempercepat pelan pemulihan.