
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, hampir keseluruhan barisan menteri yang diumumkan hari ini melibatkan orang sama, termasuk ada yang masih memegang portfolio terdahulu.
“Tiada apa yang menarik dan tidak pasti sama ada kita mampu memperbaiki keadaan dalam isu melibatkan ekonomi dan pandemik. Sekali lagi, prestasi tidak dipentingkan dalam Kabinet ini,” katanya kepada FMT.
Azeem Fazwan Abdul Farouk dari Universiti Sains Malaysia bagaimanapun menyifatkan pengosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai satu langkah strategik yang mencontohi langkah Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“PM mungkin menyimpan jawatan ini untuk Bersatu. Memandangkan hubungan bergolak antara Umno dan Bersatu, ini boleh dilihat sebagai langkah strategik. Kita perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku kemudian,” katanya.
Azeem berkata, pelantikan menteri berdasarkan parti politik tidak mengejutkan kerana memang bukan amalan untuk lantikan dibuat berdasarkan pengalaman individu yang dipilih.
Menurutnya, ketika pentadbiran Pakatan Harapan sekalipun, kerajaan melantik orang tidak berpengalaman sebagai Menteri Pertahanan.
“Barisan Kabinet baharu ini lebih kurang sama sahaja dengan yang sebelumnya. Dasar yang dibentuk ketika pentadbiran Muhyiddin akan diteruskan.
“Walaupun kita tidak boleh menyalahkan Muhyiddin sepenuhnya kerana peningkatan kes Covid-19, pertukaran personaliti dalam kerajaan akan membawa perubahan yang kita mahukan.
“Jika anda mencari penyelesaian segera, memang tiada. Perkara ini akan berpanjangan. Jika orang ramai mengharapkan keajaiban susulan kabinet baharu ini, bersedialah untuk kecewa,” katanya.
Shahidan demi strategi, KJ bagi kualiti
Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kemunculan semula Shahidan Kassim dalam Kabinet adalah langkah strategik memandangkan Ahli Parlimen Arau itu mampu mengukuhkan sokongan untuk PM dalam Umno.
“Shahidan lebih dekat dengan akar umbi dan peka dengan semua yang berlaku di setiap peringkat.
“Beliau akan ‘menjaga depan belakang’ untuk PM dalam parti,” katanya.
Shamsul berkata, peranan Shahidan menyusul ketika kuasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semakin lemah, jauh berbeza dengan peranannya sebelum ini yang terlibat dalam menentukan dasar negara.
Katanya, ini bererti individu di luar MKT lebih berkuasa, dengan memetik contoh golongan dilihat sebagai elit, seperti Khairy Jamaluddin serta Hishammuddin Hussein.
Berhubung peranan baharu Khairy sebagai Menteri Kesihatan, beliau berkata, pelantikan itu mungkin pilihan terbaik untuk negara memandangkan keadaan pandemik semasa.
Shamsul berkata, sebagai graduan Oxford, Khairy mampu menggunakan kenalannya dari situ untuk melakukan apa yang perlu, walaupun beliau sendiri tiada pengalaman perubatan praktikal.
“KJ dalam kelas tersendiri. Beliau bersifat organisasi dan memang tokoh masyarakat.
“Apabila berurusan dengan pihak seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan badan antarabangsa lain, memang orang sepertinya adalah sesuai. KJ mampu memberi imej baik untuk negara kita,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan Ahli MKT, Reezal Merican Naina Merican umpama memenangi pingat emas dengan pelantikannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Beliau mungkin gagal meraih emas untuk Malaysia dalam Olimpik baru-baru ini, namun memenanginya untuk diri sendiri,” katanya.