Rogol, seks oral dengan remaja perempuan, hukuman penjara 10 tahun kontraktor kekal

Rogol, seks oral dengan remaja perempuan, hukuman penjara 10 tahun kontraktor kekal

Tertuduh dan mangsa berkenalan menerusi aplikasi WeChat dua bulan sebelum kejadian.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 2 Jun 2017.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang kontraktor kerana rogol dan perbuatan seks luar tabii terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Suraya Othman bagaimanapun membenarkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 Jun 2017.

Mohd Amin Ayob, 47, meminta remaja perempuan itu melakukan seks oral terhadapnya di Pantai Teluk Datai di Langkawi, antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang pada 20 Mei 2017.

Dia juga merogol remaja itu di kawasan paya berhampiran Kampung Belanga Pecah, Langkawi, antara jam 9 hingga 11 pagi pada 27 Mei 2017.

Seks dengan kanak-kanak di bawah usia 16 tahun dianggap satu kesalahan rogol, sekalipun dilakukan dengan persetujuan mangsa.

Mahkamah Sesyen sebelum ini memerintahkan Amin dipenjara lima tahun dan lima sebatan bagi setiap tuduhan terhadapnya.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan rayuan pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara itu, seterusnya dia dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kesalahan.

Dua hukuman itu bagaimanapun diarahkan berjalan serentak.

Mahkamah Tinggi turut mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman pada 3 Oktober 2018.

Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Azyan Mohd Akhir sebelum ini berhujah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi wajar dikekalkan demi kepentingan awam.

“Tertuduh jauh berusia berbanding mangsa yang hanya seorang remaja,” katanya.

Peguam Fong Fook Chen bagaimanapun berkata, anak guamnya adalah pesalah kali pertama.

“Mereka berkenalan dua bulan sebelum kejadian dan tiada keganasan terlibat,” katanya.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, tertuduh dan remaja itu berkenalan menerusi aplikasi WeChat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.