PM dijangka menghadap Agong di Pahang, sembah senarai Jemaah Menteri

PM dijangka menghadap Agong di Pahang, sembah senarai Jemaah Menteri

Pertemuan bagi mempersembah senarai nama Jemaah Menteri itu sudah mendapat perkenan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ismail sebelum ini dilaporkan akan mengumumkan barisan Jemaah Menteri kerajaan baharu paling lewat pada minggu ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Senarai akhir Jemaah Menteri dijangka dipersembahkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.

Pertemuan bagi mempersembah senarai nama Jemaah Menteri itu sudah mendapat perkenan Sultan Abdullah, menurut laporan Utusan Malaysia.

Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong kini berada di Kuantan selepas baginda berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah membabitkan mangsa banjir di Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Acheh di Pekan, semalam.

Dalam sidang media pertamanya pada Isnin lalu, Ismail dilaporkan berkata akan mengumumkan barisan Jemaah Menteri kerajaan baharu paling lewat pada minggu ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau akan mempersembahkan senarai Jemaah Menteri itu terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda.

Ismail mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu lalu dan memulakan tugas hari pertama beliau pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.