
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM), Johor mencatatkan jumlah kematian tertinggi di seluruh negara dua hari berturut-turut, dengan 41 kematian pada 23 Ogos dan 51 pada 24 Ogos.
Dalam kenyataan PH Johor berkata, meskipun 50% populasi di Johor sudah menerima dos vaksin pertama, kadar populasi penerima dos lengkap menerusi vaksin kedua masih rendah, iaitu sebanyak 28% sahaja sehingga 24 Ogos 2021.
Sehubungan itu, PH Johor menggesa supaya kaedah cari, uji, jejak, asing dan sokong (FTTIS) dapat ditingkatkan sebagai persediaan berdepan kewujudan varian Delta dan Lambda.
“Kadar vaksinasi Johor juga perlu ditingkatkan segera untuk mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini, setiap kelewatan amat berisiko menatijahkan lebih ramai angka korban.
“Kelembapan pemberian vaksin di Johor menyebabkan masih ramai rakyat di negeri ini yang belum dilindungi. Mereka berisiko tinggi untuk berada di tahap 3, 4 dan 5 sekiranya dijangkiti,” kata mereka.
Kenyataan itu menambah, peningkatan pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang kini sudah mencapai hampir 85% boleh melumpuhkan sistem kesihatan negeri.
Justeru, PH mencadangkan supaya kerajaan negeri meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sistem kesihatan seperti menambah kapasiti ICU dan memperkukuh barisan hadapan.
“Pada masa yang sama, PH juga berharap kerajaan negeri mengambil langkah inklusif dengan melibatkan ADUN rentas parti dalam usaha merangka pelan pemulihan pandemik pada kadar segera.
“Khususnya dalam menambah baik sistem kesihatan negeri dan perancangan membuka sektor industri dengan selamat,” kata mereka.
Hari ini, KKM melaporkan terdapat 24,599 jangkitan baharu Covid-19 melebihi rekod sebelumnya sebanyak 23,564 kes pada 20 Ogos.
Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 6,936 kes, diikuti oleh Sabah (3,487), Johor (2,785), Pulau Pinang (2,078), Sarawak (2,024), Kedah (1,538), Kelantan (1,312), Perak (1,170), Kuala Lumpur ( 881), Pahang (690), Terengganu (567), Negeri Sembilan (526), Melaka (515), Perlis (67), Putrajaya (20) dan Labuan (3).
Jumlah jangkitan di Johor, Pulau Pinang dan Sabah adalah yang tertinggi setakat ini.