Kontinjen negara mula kempen Paralimpik Tokyo dengan langkah kiri

Kontinjen negara mula kempen Paralimpik Tokyo dengan langkah kiri

Sukan Paralimpik Tokyo yang dibuka secara rasmi pada Selasa akan berakhir pada 5 Sept ini.

Hasrat perenang para kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli untuk layak ke peringkat akhir acara 200 meter gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) tidak kesampaian selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal. (Gambar Bernama)
TOKYO:
Kontinjen negara memulakan kempen hari pertama Sukan Paralimpik Tokyo dengan langkah kiri selepas kedua-dua wakilnya mencatat keputusan kurang memuaskan semalam.

Hasrat perenang para kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli untuk layak ke peringkat akhir acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) tidak kesampaian selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal.

Bukan itu sahaja, Nur Syaiful sebenarnya berpeluang memecah rekod Asia yang dipegang perenang Thailand, Phuchit Aingchaiyaphum dengan catatan masa 2 minit 58.11 saat (s) dilakukan di Melbourne, Australia tahun lalu selepas menamatkan saingan di tangga kelima dengan masa 2:56.78s.

Atlet Sarawak berusia 26 tahun itu mendedahkan terpaksa menampal plaster di bahagian bahu kirinya dan berenang dalam kesakitan susulan kecederaan dialami sejak Sabtu lepas sebelum aksinya dibatalkan selepas dimaklumkan pegawai tekinal bahawa penggunaan plaster tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, Nur Syaiful yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada 2012 berazam untuk ‘membalas dendam’ terhadap apa yang berlaku itu sekiranya dibenarkan beraksi bagi saingan 100m gaya bebas lelaki S5, pada 9 pagi hari ini (10 pagi waktu tempatan) di Pusat Akuatik Tokyo.

Perenang Sepanyol Antoni Ponce Bertran muncul pemenang saringan pertama dengan merekodkan masa 2:33.73s.

Francesco Bocciardo dari Itali menjuarai acara berkenaan dalam saingan akhir selepas mencatat masa 2:26.76s, manakala Antoni merangkul perak (2:35.20s) dan gangsa pula milik perenang Brazil, Daniel de Faria Dias (2:38.71s).

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, iaitu Chee Chaoming dalam sukan ping pong kategori TT9 (kecacatan fizikal) terpaksa akur dengan kehebatan pemain Itali Mohamed Kalem apabila tumpas pada aksi pembukaan pusingan kelayakan Kumpulan C perseorangan lelaki.

Dalam aksi yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Mohamed hanya mengambil masa 20 minit untuk menundukkan atlet berusia 23 tahun itu dengan keputusan 11-6, 11-7, 11-4.

Wakil tunggal negara yang merupakan pemenang emas Sukan Para Asia 2018 di Indonesia berpeluang menebus kesilapannya apabila dijadual menentang Joshua Stacey dari Great Britain pagi ini dan akan melengkapkan saingan bertemu pemain Australia Lin Ma pada sebelah petang bagi mengintai peluang mara ke peringkat seterusnya.

Sukan Paralimpik Tokyo yang dibuka secara rasmi pada Selasa akan berakhir pada 5 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.