Disangka burung, lelaki maut ditembak pemburu

Disangka burung, lelaki maut ditembak pemburu

Mangsa yang dikenali sebagai Nissa Jamu berusia 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Sepucuk senapang, peluru dan beberapa barang milik suspek yang dirampas polis untuk dijadikan barang kes. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut dipercayai ditembak seorang pemburu yang menyangkanya seekor burung ketika berburu di kawasan hutan di Nanga Dayu, Pakan, Sarawak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Andam Sulin berkata, mangsa yang dikenali sebagai Nissa Jamu, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, katanya, mangsa dan dua rakannya sedang berehat daripada aktiviti memburu.

Katanya, seorang lelaki berusia 45 tahun dari arah Ulu Budu, Saratok, yang memburu bersendirian, melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkanya seekor burung.

“Selepas melepaskan tembakan, suspek terus bergerak ke arah mangsa dan mendapati dia tertembak mangsa.

“Suspek meminta maaf kepada dua rakan mangsa dan balik ke rumah dalam ketakutan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Utusan Borneo Online.

Beliau berkata, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Julau sebelum ditahan kira-kira 2 pagi tadi dan sepucuk senapang, peluru serta beberapa barangnya dirampas untuk dijadikan barang kes.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan awal menemui lebih 15 kesan tembakan di belakang badan dan kepala mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.