Wakil rakyat perlu pamer politik matang aras tinggi demi kepentingan rakyat, titah Sultan Nazrin

Wakil rakyat perlu pamer politik matang aras tinggi demi kepentingan rakyat, titah Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah bertitah setiap Ahli Dewan perlu bersama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum.

Dewan Undangan Negeri adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara Ahli Dewan yang telah dipilih dan mendapat mandat rakyat, titah Sultan Nazrin. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa semua Ahli Dewan Undangan (ADUN) di negeri ini perlu mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dan saling bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat sebagai timbal balik pemberian peruntukan saksama dalam Belanjawan 2021.

Baginda bertitah setiap Ahli Dewan perlu bersama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Menteri besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan saksama untuk semua 59 orang Ahli Dewan Negeri, tanpa sebarang diskriminasi sama ada Ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di Dewan Negeri, bangunan Perak Darul Ridzuan.

Baginda bertitah bahawa semua ahli Dewan juga dijemput menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan langkah tersebut akan membolehkan semua Ahli Dewan mengambil bahagian secara langsung dan membina dalam mencari formula untuk memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan.

“Langkah yang dirintis menteri besar ini merupakan langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri dan mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi langkah kecil ini jika terus disuburkan akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam titahnya juga mengingatkan bahawa DUN adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara Ahli Dewan yang telah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa berlangsungnya pilihan raya.

Menyentuh mengenai ancaman Covid-19, baginda bertitah pertembungan vaksin dan virus akan berterusan sehingga Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan akal manusia berupaya mengatasi daya lawan dan daya tahan virus ini.

Sehingga 24 Ogos, sejumlah 1,118,358 orang telah menerima dos pertama dan 797,317 telah lengkap menerima dos kedua, merangkumi 42.8% daripada jumlah populasi dewasa negeri Perak.

Menyentuh mengenai hasil bumi, baginda bertitah di perut bumi Perak dianggarkan terkandung 1.6 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang merupakan mineral terpenting pada masa kini dan masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi, perubatan dan pertahanan.

“Kerajaan beta telah memulakan projek perintis perlombongan NR-REE di atas tanah seluas 213.8 hektar. Pada masa yang sama, kerajaan beta mengambil pendirian sangat berhati-hati dan tidak akan bersifat gopoh untuk melonjak terlalu cepat, meluluskan lesen melombong NR-REE secara besar-besaran,” titah Sultan Nazrin.

Sebelum ini dilaporkan, konsep “gelembung persidangan” Dewan Negeri akan diguna pakai dalam persidangan DUN Perak yang bermula hari ini (25 Ogos) dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di negeri itu dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama, iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi individu yang terlibat dengan persidangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.