
Beliau berkata, tawaran yang dinyatakan Ismail menunjukkan sikap keterbukaan yang ada pada diri perdana menteri dalam meletakkan kepentingan kepada rakyat yang terkesan oleh pandemik Covid-19.
“Ini menunjukkan keseriusan yang ada supaya kita sama-sama mengatasi Covid-19 ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Terdahulu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendekatan “Keluarga Malaysia” yang ingin diketengahkan kerajaan di bawah pentadbiran Ismail Sabri akan mewujudkan ketenangan dan keharmonian agar kerajaan memberi fokus utama kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi rakyat serta negara.
“PAS juga menyambut baik ruang tawaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada kepimpinan pembangkang bagi menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Idris berkata, dengan tawaran itu ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada kaedah menangani pandemik Covid-19.
“Kestabilan politik mempunyai kaitan yang rapat dengan usaha memenangi peperangan kesihatan yang ada di negara kita. Kita mengharapkan supaya soal politiking tidak banyak berlaku kerana tumpuan kita biarlah hal itu.
“Cukuplah anak cucu kita menyaksikan dalam satu penggal, tiga tahun kita memiliki tiga perdana menteri,” tambah beliau.