Susulan ‘eksperimen sosial’ langgar SOP, premis tak patuh arahan diarah tutup

Susulan ‘eksperimen sosial’ langgar SOP, premis tak patuh arahan diarah tutup

Kelonggaran SOP diberi bagi merancakkan semula ekonomi, harap masyarakat tak ambil kesempatan, kata Bukit Aman.

Susulan tindakan pasangan suami isteri tidak divaksin melakukan “eksperimen sosial” di sebuah kedai makan baru-baru ini, polis mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi SOP ditutup.
SEMENYIH:
Polis akan mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditutup susulan tindakan pasangan suami isteri yang tidak divaksin melakukan “eksperimen sosial” di sebuah kedai makan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Zainal Abidin Kasim berkata, kerajaan memberi kelonggaran SOP bagi merancakkan semula ekonomi dan berharap masyarakat tidak mengambil kesempatan.

“Polis dan pihak berkuasa tempatan melakukan rondaan bersama dan mana-mana premis yang tidak patuh (SOP) akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, dekat sini, hari ini.

Pada 8 Ogos, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran, termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta makan di restoran.

Sehubungan itu katanya, polis meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam.

Pihaknya juga akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah secara berperingkat. Bagaimanapun SJR antara negeri akan dikekalkan.

“Saya telah mengarahkan kontinjen polis negeri untuk mempertingkatkan tinjauan dan pemeriksaan ini untuk pastikan SOP yang baharu dipatuhi semua,” kata Zainal Abidin seperti dipetik oleh Bernama.

Isnin lalu, pasangan suami isteri yang kononnya cuba melakukan “eksperimen sosial” dengan masuk ke beberapa premis dan kedai makan tanpa menerima dua dos vaksin diberkas di rumah mereka.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil, kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli, menurut laporan Kosmo.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan selain Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.