
Dr Boo Cheng Hau berkata, tindakan wakil rakyat PH yang menggesa gabungan tersebut secara rasmi menjemput parti pembangkang lain termasuk Pejuang, Muda dan Warisan untuk menyertainya, dipersoalkan.
“Majlis Presiden PH telah memutuskan strategi khemah besar-besaran tetapi tidak sewajarnya termasuk ‘parti pembangkang tiruan’ yang sebenarnya dalang di belakang usaha memecahbelahkan PH bagi memastikan PN-BN berkuasa semula dengan majoriti lebih besar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau menjangkakan perpecahan bakal dihadapi PH apabila Pejuang beberapa hari lalu menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya di 120 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang bermaksud akan berlaku pertembungan kerusi sesama pembangkang.
“Adakah anda masih berpandangan bahawa Pejuang, MUDA and Warisan ingin bekerjasama dengan PH secara ikhlas jika Pejuang telah mengugut bahawa ia akan bertanding di 120 kerusi Parlimen pada PRU15 dan Warisan, MUDA berhasrat bertanding di Semenangjung walaupun perlawanan tiga penjuru?,” soalnya.
Beliau turut mendakwa Pejuang merupakan “parti kembar” Umno dan Bersatu, manakala keterbukaan membiarkan Warisan bertanding di Semenanjung juga akan mengakibatkan pembangkang kehilangan kerusi.
“Pejuang adalah bayi tiga berkembar kepada Umno dan Bersatu. Bersatu pernah menarik diri daripada PH dan selanjutnya mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH selepas cuma 22 bulan berkuasa.
“Warisan bertindak-tanduk seumpama PBS pada 1995 yang bertanding tiga penjuru di Semenanjung serta berjaya mengakibatkan pembangkang sifar di Johor pada PRU 1995,” katanya.
Boo berkata demikian sebagai mengulas kenyataan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menggesa gabungan tersebut secara rasmi menjemput parti pembangkang lain untuk menyertainya.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ketua Wanita Amanah Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu dalam kenyataan berkata, jumlah sokongan 105 Ahli Parlimen pembangkang yang dibuktikan ketika mencalonkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, walaupun tidak mencukupi untuk menjadikannya perdana menteri, perlu dikekalkan dan diperkemas dalam bentuk persefahaman lebih formal menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.