Sorok bawah kaunter, penganggur dicekup ketika pecah masuk stesen minyak

Sorok bawah kaunter, penganggur dicekup ketika pecah masuk stesen minyak

Lelaki itu ditemui bersembunyi di bawah kaunter pembayaran selepas syarikat penggera keselamatan menghubungi polis.

Suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dan pecah masuk stesen minyak serta beberapa kedai di sekitar Port Dickson, Seremban dan Nilai membabitkan kerugian berjumlah RM69,713, kata Aidi Sham Mohamed. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan pecah masuk stesen minyak serta beberapa kedai di sekitar Port Dickson, Seremban dan Nilai membabitkan kerugian berjumlah RM69,713.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata dalam insiden pada kira-kira 3.27 pagi semalam, pihaknya menerima panggilan telefon daripada individu yang bekerja di syarikat penggera keselamatan memaklumkan sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban telah dipecah masuk.

Beliau berkata sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati cermin kaca stesen minyak itu telah dipecahkan dan pemeriksaan lanjut di dalam kedai menjumpai suspek lelaki berusia 29 tahun yang bersembunyi di bawah kaunter pembayaran.

“Antara barang dirampas ialah wang tunai sebanyak RM500, tukul besi, sarung tangan dan sebuah motosikal.

“Pihak polis turut membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang pernah didiami oleh lelaki itu di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang.

“Turut dirampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah kedai dan pecah stesen minyak antaranya rokok pelbagai jenama, gelang tangan, telefon bimbit dan cermin mata,” menurutnya dipetik Bernama.

Aidi Sham berkata siasatan juga mendapati suspek aktif melakukan jenayah secara solo sejak Oktober tahun lepas sehingga Ogos tahun ini.

Katanya suspek, yang tiada rekod jenayah serta bebas daripada pengaruh dadah, kini direman lima hari bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.