Sabah terima kumpulan pertama vaksin CanSino

Sabah terima kumpulan pertama vaksin CanSino

Kumpulan seterusnya bagi vaksin dos tunggal itu dijangka turut diterima pada bulan ini.

Kerajaan Sabah sebelum ini mengemukakan permohonan agar negeri itu diberi keutamaan untuk menerima CanSino dan telah memohon 1.8 juta dos vaksin jenis itu daripada kerajaan persekutuan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis CanSino sebanyak 53,000 dos manakala kumpulan seterusnya vaksin dos tunggal itu dijangka turut diterima pada bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata, vaksin itu dapat membantu melancarkan program vaksinasi di Sabah dan sehingga Isnin lebih 1.46 juta penduduk di negeri itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 manakala 866,228 orang lagi melengkapkan dua dos suntikan.

“Kadar vaksinasi orang dewasa berusia 18 tahun dan lebih di Sabah telah mencapai 53.3% (dos pertama) dan 31.4% menerima dua dos lengkap,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan berkata, kerajaan negeri mengemukakan permohonan agar Sabah diberi keutamaan untuk menerima CanSino dan telah memohon 1.8 juta dos vaksin jenis itu daripada kerajaan persekutuan.

Rose berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan kerajaan negeri terus mempergiat vaksinasi di kawasan pedalaman dan sukar dicapai selain terus membuka pusat pemberian vaksin (PPV) secara jumpa terus.

Beliau berkata, berdasarkan data jabatan itu, sebanyak 80% hingga 90% pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) merupakan individu yang tidak divaksin, justeru beliau menyeru agar semua penduduk mendapatkan vaksinasi.

“Pada masa ini, jangkitan Covid-19 telah pun berleluasa dalam komuniti dan semua orang berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti. Pada masa ini juga tindakan pencegahan di peringkat individu adalah kunci utama menghalang penyebaran virus ini.

Mengulas kes lambat daftar Rose berkata, ia terjadi apabila kes yang dikesan meningkat mengakibatkan beban ujian makmal dan kerja petugas turut meningkat.

Katanya, sehubungan itu beberapa langkah penambahbaikan sedang dilakukan termasuk penyumberluaran, meningkatkan jumlah anggota yang menjalankan ujian, memanjangkan waktu bertugas di makmal sehingga 12 tengah malam dan meningkatkan keupayaan ujian secara teknikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.