Selangor teruskan jualan lebih 600,000 dos baki vaksin SELVAX

Selangor teruskan jualan lebih 600,000 dos baki vaksin SELVAX

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata perancangan awal adalah untuk membeli 2.5 juta dos vaksin, namun ia dihentikan setakat 1.25 juta dos.

Sebanyak 224,880 daripada 500,000 dos sudah disuntik dan kerajaan negeri Selangor komited untuk meneruskan pemberian vaksin secara percuma kepada golongan yang belum menerima vaksin termasuk melalui pemberian vaksin secara bergerak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor menerusi anak syarikatnya, Selgate Corporation akan meneruskan penjualan vaksin melalui klinik panel di seluruh negara sebanyak 607,281 dos baki vaksin yang belum digunakan menerusi program SELVAX Industri.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat 22 Ogos sebanyak 142,719 daripada 750,000 dos yang diperuntukkan dalam program berkenaan sudah digunakan.

Katanya, perancangan awal kerajaan negeri adalah membeli 2.5 juta dos vaksin, namun pembelian itu dihentikan setakat 1.25 juta dos.

Tanpa menjelaskan secara terperinci mengapa pembelian vaksin berkenaan terhenti setakat itu Mariah berkata, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM127 juta bagi proses pembelian vaksin setakat ini.

“Itu tidak termasuk kos penubuhan pusat pemberian vaksin (PPV), bayaran suntikan vaksin kepada doktor dan kos-kos lain,” katanya.

Beliau berkata, menerusi 1.25 juta dos vaksin yang diperuntukkan itu, sebanyak 500,000 dos kekal untuk komuniti manakala baki 750,000 dos adalah khusus untuk SELVAX Industri.

Bagi SELVAX Komuniti, Mariah berkata, sebanyak 224,880 daripada 500,000 dos sudah disuntik dan kerajaan negeri komited untuk meneruskan pemberian vaksin secara percuma kepada golongan yang belum menerima vaksin termasuk melalui pemberian vaksin secara bergerak.

Beliau menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang ingin tahu baki vaksin program SELVAX Komuniti dan SELVAX Industri serta rancangan seterusnya dengan baki vaksin berkenaan.

Idris Ahmad (PAS-Ijok) kemudian mencadangkan agar kerajaan negeri mempercepatkan pemberian vaksin menerusi program rumah ke rumah khususnya bagi lokaliti luar bandar.

“Saya kira bukannya susah sangat (program rumah ke rumah), logistik dah ada, klinik desa dah ada. Kita boleh minta kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) untuk gunakan klinik desa atau klinik ibu mengandung bagi menyuntik seramai mungkin orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.