Campak kucing, eksekutif jualan didenda RM20,000

Campak kucing, eksekutif jualan didenda RM20,000

Tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah susulan perjanjian dicapai antara pihak pendakwaan dan pembelaan.

Video perbuatan Ng Teck Ning yang tular. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki yang dirakam mencampak seekor kucing ke tanah tahun lalu didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas menukar pengakuannya kepada bersalah.

Ng Teck Ning, 36, menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pendakwaan dan pembelaan mencapai persetujuan bawah Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah.

Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 9 Mac.

Ng melakukan kesalahan itu di depan tempat meletak kereta di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya, pada 6 petang 21 September 2020.

Dia dirakam mencampak kucing itu yang baring di bonet keretanya.

Menurut laporan, kucing itu cedera akibat perbuatannya.

Eksekutif jualan itu menyerah diri di Balai Polis Setapak selepas video kejadian menjadi tular.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan yang membawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Peguam Joshua Andran berkata, tertuduh memohon maaf kepada mahkamah dan orang ramai kerana perbuatannya.

“Denda ini akan menjadi satu pengajaran serta memenuhi kepentingan awam,” katanya.

Pendakwaan di depan Hakim Emelia Kaswati Mohamd Khalid dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Fadzilah Abdul Karim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.