Balai raya jadi aset peribadi berpuluh tahun, dibina tanpa kelulusan, dedah ADUN DAP

Balai raya jadi aset peribadi berpuluh tahun, dibina tanpa kelulusan, dedah ADUN DAP

Wong Siew Ki berkata balai raya adalah aset kerajaan dan ia tidak boleh disalah guna oleh pihak tertentu terutama dianggap sebagai harta parti politik.

ADUN Balakong, Wong Siew Ki berkata, kunci balai raya di Cheras itu dipegang seorang penduduk yang juga ahli politik tempatan dan individu itu tidak menyerahkannya kepada pihak Pejabat Tanah. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang wakil rakyat DAP Selangor mendedahkan terdapat beberapa balai raya dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan negeri ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Wong Siew Ki (PH-Balakong) berkata, situasi itu dikesan ketika beliau mengemukakan surat permohonan kepada Pejabat Daerah bagi mendapatkan kelulusan menggunakan kemudahan balai raya Desa Baiduri di Cheras, bagi kegunaan program bakul makanan untuk penduduk setempat.

“Apa yang dialami oleh saya, selepas semakan Pejabat Daerah, balai raya tersebut dibina tanpa kebenaran Pejabat Daerah berpuluh-puluh tahun yang lalu di atas tanah kerajaan, dan kunci balai raya tersebut dipegang oleh pihak tidak dikenali dan tanpa rekod Pejabat Daerah.

“Dengan bantuan penduduk setempat, kunci sebenarnya dipegang oleh seorang penduduk yang sebenarnya ahli politik tempatan. Orang tersebut bukan sahaja tidak menyerahkan kunci kepada pihak Pejabat Daerah, malah meminta saya menulis surat kepada dia bagi tujuan ‘memohon kebenaran’ menggunakan balai raya tersebut daripada dia,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Wong menegaskan, balai raya adalah aset kerajaan dan ia tidak boleh disalah guna oleh pihak tertentu terutamanya dianggap sebagai harta parti politik.

“Kita sepatutnya menyediakan balai raya ini untuk kegunaan program yang bermanfaat kepada penduduk setempat, terutamanya pada masa pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan siasatan segera dengan menyenaraikan semua balai raya yang terdapat di dalam kawasan masing-masing.

“Saya percaya, banyak lagi balai raya yang berstatus tidak jelas seperti balai raya Desa Baiduri ini,” katanya.

Dengan menyenaraikan semua balai raya di negeri ini katanya, ia dapat memudahkan semua pihak mengetahui status sebenar dan situasi balai raya berkenaan jika memerlukan bantuan untuk proses ubah suai.

Lau Weng San (PH-Banting) kemudian mencelah dengan memberi pendapat kepada Dewan supaya mengusir petempatan yang dibina tanpa kebenaran.

“Sudah 12 tahun kita jadi kerajaan, apakah perlu mereka yang tiada hak ke atas tanah diusir keluar? Saya rasa itu perlu dilakukan, apa pendapat Balakong?,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi PKR merampas Selangor daripada pentadbiran BN pada 2008 ketika pilihan raya umum ke-12.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.