75 kes Covid-19 baharu dikesan, hampir 70% penduduk Pulau Perhentian jalani saringan

75 kes Covid-19 baharu dikesan, hampir 70% penduduk Pulau Perhentian jalani saringan

Proses saringan dijangka selesai sepenuhnya petang ini, menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Kasemani Embong.

KUALA TERENGGANU: Seramai 1,124 penduduk Pulau Perhentian menjalani ujian calitan Covid-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Jumaat lepas susulan 75 kes positif dikesan di pulau peranginan itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Kasemani Embong berkata, proses saringan yang melibatkan hampir 70% penduduk itu dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

“Ujian calitan terpaksa dilakukan bagi mencegah penularan jangkitan kerana terdapat 75 kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk di Pulau Perhentian setakat ini. Sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lepas.

“Punca penularan Covid-19 bukanlah jangkitan daripada pelancong sebaliknya disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang-alik menjalankan beberapa urusan di tanah besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kesemua penduduk pulau itu yang positif Covid-19 telah dihantar menerima rawatan di Hospital Setiu serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut.

Kasemani berkata, penduduk yang disahkan kontak rapat pula diberikan arahan supaya menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan polis.

Seramai 979 penduduk dan penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian telah menerima dos pertama vaksin pada 5 Ogos melalui program yang dilaksanakan JKNT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.