
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata dua suspek lelaki berusia 32 dan 52 tahun itu ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan dokumen palsu dalam sebuah kereta pada 16 Ogos lalu di Setapak, Kuala Lumpur.
Katanya, suspek kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos lalu.
“Hasil serbuan, anggota kita menahan seorang lelaki disyaki sebagai pembuat dokumen palsu kepada sindiket itu.
“Pemeriksaan menemui 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer, mesin pencetak, mesin ‘laminate’, mesin pengimbas pasport, ‘stamping plate’ pelbagai negara serta beberapa peralatan lain,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, tangkapan dibuat berdasarkan risikan dan maklumat selama tiga bulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen.
Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen turut merampas dua kereta Honda Civic dan Proton Waja.
Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan semakan dalam sistem Jabatan Imigresen, dua suspek berkenaan pemegang pas lawatan sosial yang sudah tamat tempoh, manakala seorang lagi memiliki pas lawatan sosial jangka panjang yang disyaki palsu.
Katanya, siasatan mendapati modus operandi sindiket itu dengan menyewa premis di kawasan perumahan mewah untuk dijadikan markas kegiatan serta kediaman mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket ini berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa dan lesen memandu.
“Mereka dikesan memfokuskan negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara itu mempunyai nilai yang tinggi,” katanya.
Katanya, sindiket itu juga dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) sejak dua tahun lalu.
“Mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan.
“Kebanyakan pelanggan terdiri pendatang asing tanpa izin warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai.
“Kadar bayaran dikenakan RM100 hingga RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu. Bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport pula dikenakan bayaran antara RM100 hingga RM1,000,” katanya.
Menurutnya, kedutaan negara yang terbabit turut mengesahkan dokumen dirampas adalah palsu.