
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pada masa sama 420 kes diberi bantuan kaunseling dan bimbingan dalam talian yang direkodkan sehingga Julai.
“Masalah kesihatan mental ini bukan sahaja melibatkan penjawat awam, tetapi juga petugas barisan hadapan sama ada kakitangan kesihatan, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat dan juga masyarakat awam.
“Justeru, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam membangunkan sebuah inisiatif yang lebih holistik, iaitu Selangor Mental Sihat (SEHAT) dengan peruntukan berjumlah RM500,000,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai bilangan penjawat awam dalam negeri Selangor yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan mental dan kemudahan yang tersedia.
Mariah turut menjelaskan kerajaan negeri akan melancarkan perkhidmatan atas talian Selangor Mental Sihat dengan mengintegrasikan modul dan fungsinya dalam aplikasi SELangkah.
“Melalui fungsi SEHAT di Aplikasi SELangkah ini, pengguna boleh melakukan ujian saringan awal secara kendiri untuk mengetahui tahap kesihatan mental mereka.
“Secara rasminya, fungsi SEHAT di aplikasi SELangkah ini akan dilancarkan oleh menteri besar Selangor pada 30 Ogos ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua perkhidmatan kaunseling disediakan kerajaan negeri tidak terhad kepada penjawat awam sahaja, malah terbuka kepada ahli keluarga penjawat awam dan masyarakat umum.
Persidangan penuh DUN dijadualkan berlangsung selama sembilan hari di bangunan Annex Shah Alam, bermula 23 Ogos hingga 6 Sept.