
Peguamnya, Hisyam Teh memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa Zahid dimasukkan ke hospital Ahad lalu setelah mengalami kecederaan akibat jatuh minggu lalu.
“Menurut doktor, beliau tidak cukup sihat untuk hadir ke mahkamah.
“Oleh itu kami serahkan kepada budi bicara mahkamah sama ada ingin mendengar penghujahan kami atau sebaliknya.
“Pihak pembela bersedia untuk meneruskannya. Kami tidak mahu dituduh melengah-lengahkannya,” kata peguam berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersedia menghujahkan kes itu.
“Bagaimanapun, yang menjadi kebimbangan kami adalah mengikut undang-undang, seseorang yang dituduh mesti hadir di mahkamah bagi kesnya,” katanya.
Tambahnya, wajar bagi Zahid mengikuti penghujahan berkenaan secara dalam talian.
Sequerah kemudian berkata, beliau akan mengeluarkan sepina terhadap doktor Zahid, Mohd Shahir Anuar daripada Hospital Pakar Avisena, untuk hadir di mahkamah petang esok.
Katanya, beliau mahu tahu rawatan yang sedang dijalani Zahid dan tempoh pemulihannya, sambil menambah, mahkamah tidak lagi boleh menerima penangguhan.
Kata Sequerah, beliau mahu perbicaraan ini selesai tahun ini.
“Ini kes 2019. Tidak adil bagi tertuduh dan mahkamah untuk asyik menangguhkannya,” tambahnya.
Hakim turut berkata, kehadiran Zahid di mahkamah diperlukan, kerana beliau boleh serta merta memberikan arahan kepada peguamnya jika ada hal-hal bangkit ketika pendengaran penghujahan.
Zahid berdepan 47 dakwaan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan pengubahan wang haram, selain menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.
Mahkamah dijadualkan mendengar penghujahan pada akhir pendakwaan mulai hari ini dan pada 6 hingga 9 Sept.