Tindakan buang kerja anggota tentera enggan divaksin bukan dibuat terburu-buru

Tindakan buang kerja anggota tentera enggan divaksin bukan dibuat terburu-buru

Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain berkata komunikasi dibuat secara dua hala malah pihaknya turut menjelaskan implikasi untuk tidak ambil vaksin dan anggota itu dilihat faham.

Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain menegaskan tindakan buang kerja tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya dibuat mengikut peraturan demi menjamin keselamatan semua pihak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penamatan perkhidmatan seorang anggota tentera dibuat selepas beberapa kali sesi kaunseling gagal mengubah pendiriannya untuk mengambil vaksin Covid-19.

Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain menegaskan, tindakan buang kerja itu tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya dibuat mengikut peraturan demi menjamin keselamatan semua pihak.

“Tindakan menghentikan perkhidmatan anggota itu tidak dibuat secara terburu-buru kerana kita sudah panggil anggota itu untuk beberapa sesi kaunseling dan temu duga berkaitan perkara berkenaan.

“Kaedah komunikasi dibuat secara dua hala, malah kita turut perjelaskan mengenai implikasi untuk tidak ambil vaksin dan anggota itu dilihat faham,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

TDM dalam kenyataan berkata, ia susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

Sarjan Wan Ramli Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan, dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

Mengulas lanjut, Zamrose berkata, menjadi satu keperluan bagi petugas barisan hadapan termasuk tentera untuk mengambil vaksin kerana sentiasa berada di lapangan menjalankan tugas.

“Kita berinteraksi dengan ramai orang dan secara berkelompok. Bila anggota itu tidak mahu ambil vaksin, apa pilihan lain yang kita ada (selain buang kerja).

“Dalam hal ini, kita perlu utamakan isu keselamatan kesihatan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.