Mahkamah bebas pemuzik Iran selepas ditahan 5 bulan

Mahkamah bebas pemuzik Iran selepas ditahan 5 bulan

Peguam Mohammadhossein Samadi berkata, dia sepatutnya dikemukakan di hadapan majistret dalam tempoh 14 hari untuk mendapatkan perintah reman.

Pemuzik Iran, Mohammadhossein Samadi, yang mengahwini seorang warga Malaysia, ditahan pihak berkuasa imigresen selepas dia menjalani hukuman penjara kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
SHAH ALAM:
Selepas hampir lima bulan ditahan dan berdepan pengusiran dari negara ini, Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan seorang pemuzik Iran dibebaskan.

Mohammadhossein Samadi mengaku bersalah memandu secara melulu ketika di bawah pengaruh alkohol pada Mac lalu dan dijatuhkan hukuman penjara dua hari serta denda RM10,000.

Bagaimanapun, dia ditahan pihak berkuasa imigresen di bawah Seksyen 34 Akta Imigresen selepas menjalani hukuman penjara itu dan kemudian ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen.

Susulan penahanan itu, dia memfailkan writ habeas corpus untuk dibebaskan daripada tahanan imigresen kerana dia tidak dikemukakan ke hadapan majistret dalam tempoh 14 hari bagi mendapatkan perintah reman.

Isterinya yang juga warga Malaysia, Ginny Lim Su Lane, 36, memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan itu.

Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Yazid Mustafa membenarkan permohonan writ habeas corpus atas alasan penahanan itu tidak berperlembagaan.

Mohammadhossein diwakili sepasukan peguam yang terdiri daripada Alex Anton Netto, Yap Boon Jhoe dan Kevin De Rozario.

“Penahanan berterusan adalah tidak sah kerana dia tidak dikemukakan di hadapan majistret untuk melanjutkan penahanannya. Atas dasar ini sahaja, dia diberikan habeas corpus,” kata Netto kepada wartawan selepas prosiding itu.

Katanya, penahanan itu melanggar Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 51 Akta Imigresen.

Di bawah peruntukan itu, individu bukan warganegara Malaysia yang ditahan di bawah undang-undang imigresen perlu dikemukakan di hadapan majistret dalam tempoh 14 hari dan tidak boleh terus ditahan tanpa kebenaran majistret.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.