Kerajaan baharu sama saja tak endah SOP, kata Kula

Kerajaan baharu sama saja tak endah SOP, kata Kula

Ismail Sabri Yaakob menerima kecaman selepas gambar disebarkan di media sosial menunjukkan mesyuarat bersama pemimpin Umno yang dihadirinya tidak mematuhi SOP.

Dalam gambar yang disebarkan di media sosial, pemimpin Umno yang hadir pada mesyuarat dipengerusikan Ismail Sabri Yaakob dilihat tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
PETALING JAYA:
Hanya beberapa hari selepas dilantik sebagai perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menerima kecaman susulan gambar yang tersebar menunjukkan beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam mesyuarat bersama pemimpin Umno.

Gambar yang dipercayai diambil di Kedah ketika kunjungannya semalam menunjukkan Ismail mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri beberapa pemimpin Umno tanpa mengamalkan penjarakan fizikal antara mereka yang duduk di meja.

Antara pemimpin yang dilihat hadir adalah Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan kedua-duanya tidak memakai pelitup muka.

Pengguna Twitter, @La_FarEast, yang memuat naik gambar berkenaan bertanya dalam sindiran, sama ada mesyuarat sebegitu kini sudah dibenarkan dengan menyebut akaun rasmi Kementerian Kesihatan, @KKMPutrajaya dalam ciapannya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dalam balasannya kepada ciapan berkenaan berkata: “New government? Same blatant disregard for SOPs.” (Kerajaan baharu? Sama sahaja, terang-terang tak endahkan SOP.)

Seorang lagi warganet, @benfirmino1 berkata, tidak hairanlah orang ramai melanggar SOP saban hari, “kalau tauladan sebegini yang dipamerkan kepada masyarakat”.

“Kerajaan yang memimpin tidak membina keyakinan, malah makin menjahanamkan,” tambahnya dalam ciapan di Twitter.

Sementara itu, @mafhm1y memerli dengan berkata: “ini mungkin mesyuarat secara maya. Menggunakan teknologi terkini menampakkan seolah olah mereka duduk dalam satu tempat yang sama.”

FMT telah menghubungi pembantu Ismail dan polis Kedah untuk mendapatkan komen.

Ismail dalam lawatan kerjanya semalam ke Yan, Kedah, mengunjungi kawasan yang dilanda banjir, di mana beliau mengumumkan peruntukan RM78 juta untuk membantu mereka yang ditimpa musibah itu.

Namun lawatannya menerima kritikan atas saiz rombongannya dan ketidakpatuhan kepada SOP ketika mengunjungi kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.