
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tidak seperti PKR yang merupakan parti berbilang kaum, konsep Keluarga Malaysia di bawah Umno mungkin tidak mencerminkan hakikat sebenar di lapangan.
Katanya, Malaysia sememangnya “keluarga” bagi rakyatnya, malah istilah itu pernah digunakan beberapa ahli politik sebelum ini.
Beliau merujuk kepada ucapan sulung Ismail yang merayu semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia.
Perdana menteri kesembilan itu berkata, Keluarga Malaysia bersifat lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
Nik Nazmi mengingatkan Ismail bahawa PKR di bawah pimpinan Anwar Ibrahim adalah parti progresif dan berbilang kaum.
“Kami akan terus kekal sebagai parti berbilang kaum,” katanya sambil menambah bahawa PKR akan terus memperjuangkan pembangunan dan pemerintahan melalui Agenda Ekonomi Malaysia yang mengutamakan rakyat terlebih dahulu.
“PKR telah membuktikan janji-janjinya mempunyai makna. Maka, terpulanglah kepada perdana menteri untuk melakukan hal yang sama.”