
Dalam catatan menerusi Facebook Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC), Ghazali, 92, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 10.30 pagi tadi.
“Urusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” menurut catatan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein turut berdukacita atas pemergian tokoh negara itu.
“Tan Sri Dato Mohd Ghazali Seth telah pulang ke Rahmatullah. Perkhabaran yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama para hambaNya yang diredhai. Al-Fatihah…,” katanya di Twitter.
Ghazali memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari 1977 hingga 1982 dan kemudian dilantik Panglima Angkatan Tentera ke-7 selama tiga tahun berakhir 1985.
Selepas bersara, Ghazali pernah berkhidmat sebagai pengerusi Nestle Malaysia Berhad.