
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, saringan bersasar itu dilakukan di tiga perkampungan Orang Asli masing-masing di daerah Gombak dan Petaling; Kuala Langat serta Klang dan Sepang.
“Di sebuah perkampungan di daerah Gombak dan Petaling, daripada 91 yang disaring, 90 daripadanya positif, hanya seorang negatif. Di (satu perkampungan) di Kuala Langat dan Klang seramai 42 yang disaring, 11 positif manakala satu kampung di Sepang 260 disaring, 34 daripadanya positif,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) dalam persidangan di bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, yang ingin mengetahui berhubung kebajikan Orang Asli semasa pandemik melibatkan jenis dan jumlah bantuan serta saringan Covid-19 yang dilaksanakan di perkampungan Orang Asli di negeri tersebut.
Hee menjelaskan pihaknya hanya akan melaksanakan saringan bersasar melibatkan mana-mana perkampungan Orang Asli sekiranya wujud kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.
“Di Selangor kita ada 74 perkampungan Orang Asli…memang kita tidak boleh masuk setiap kampung untuk buat saringan, kita hanya boleh masuk secara (saringan tersasar sahaja) yang kalau kampung itu ada kes, baru kita masuk,” katanya yang menjawab soalan tambahan Wong sama ada kerajaan negeri ada melaksanakan saringan khusus kepada masyarakat Orang Asli.