Syed Saddiq mahu kesnya didengar di Mahkamah Tinggi

Syed Saddiq mahu kesnya didengar di Mahkamah Tinggi

Ahli Parlimen Muar mohon supaya perbicaraan pecah amanah jenayah, ubah wang haram terhadapnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen.

Syed Saddiq Abdul Rahman berdepan empat tuduhan melibatkan dana berkaitan parti Bersatu.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan permohonan supaya semua tuduhan jenayah terhadapnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Haijan Omar berkata, permohonan berkenaan difailkan minggu lalu dan pihak pendakwaan telah dimaklumkan mengenainya.

“Kami mahu kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi kerana beberapa isu perundangan penting akan dibangkitkan kemudian,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, pengurusan kes telah ditetapkan di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada Rabu ini.

Pada 22 Julai lalu, Ahli Parlimen Muar itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM1 juta milik Pemuda Bersatu.

Dia juga menghadapi satu lagi tuduhan kerana menyeleweng dana pilihan raya RM120,000 parti itu.

Pada 5 Ogos, Syed Saddiq turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan RM50,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Semua kes dijangka disebut di depan Hakim Azura Abbas pada 10 September.

Syed Saddiq dibenarkan jaminan RM330,000, dan berjaya mengumpulkan wang itu hasil sumbangan orang ramai dengan mendapat RM715,573 dalam tempoh 24 jam selepas didakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.