
Perkara itu dimaklumkan peguam K Kumaraendran yang mewakili Mohammad Lan, 65, ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin hari ini.
Kumaraendran berkata pihaknya telah menerima 10 ikat dokumen dalam bentuk salinan bercetak yang mengandungi 485 ekshibit antaranya adalah salinan cek dan surat berkaitan kes tersebut.
“Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes itu yang akan bermula pada Januari 2022 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Okt ini,” katanya.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziah Mohaide.
Pada 5 Feb lepas, Mohammad Lan mengaku tidak bersalah atas 22 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kesemuanya berjumlah RM20.45 juta membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Maybank Cawangan Mont Kiara dan Solaris Mont Kiara, dekat sini, antara September 2012 dan 26 Julai 2013 dan di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Dis 2012.
Bagi kesalahan rasuah, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Pertuduhan bagi pengubahan wang haram pula dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.