Lelaki maut tercampak keluar kereta, kenderaan 100% rentung

Lelaki maut tercampak keluar kereta, kenderaan 100% rentung

Rakan mangsa yang sempat diselamatkan orang ramai masih belum dikenali identiti kerana dokumen pengenalan diri turut terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya Mohamad Rashid Mohamad Said berkata kenderaan dipandu mangsa terbabas ke bahu lebuh raya sebelum terbakar. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer P5.1 Lebuhraya Elite, Putrajaya Link, Cyberjaya hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya Mohamad Rashid Mohamad Said berkata dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, kereta jenis Honda City yang dipandu Ong Ka Hou, 26, terbabas ke bahu kanan lebuh raya sebelum terbakar 100%.

“Akibat kemalangan itu Ong, yang beralamat di Ulu Yam Baru, Selangor, tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

“Rakan mangsa yang cedera pula telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dipetik Bernama.

Mohamad Rashid berkata rakan mangsa yang cedera belum dikenal pasti identitinya kerana dokumen pengenalan diri turut terbakar di dalam kereta itu.

Menurutnya, lelaki terbabit telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 10.18 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada 11.15 pagi,” katanya.

Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat, manakala mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.