Aktivis Orang Asli beri amaran lonjakan kes Covid-19, kematian ‘semakin membimbangkan’

Aktivis Orang Asli beri amaran lonjakan kes Covid-19, kematian ‘semakin membimbangkan’

Penyelaras COAC, Colin Nicholas berkata, jumlah kes Covid-19 dalam masyarakat Orang Asli meningkat lebih 10 kali ganda daripada 287 kes pada 20 Julai kepada 3,293 kes pada 20 Ogos lalu.

Lebih ramai Orang Asli mahu divaksin selepas melihat sendiri kesan teruk Covid-19 ke atas komuniti mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Orang Asli memberi amaran berhubung lonjakan kes Covid-19 dan kematian “semakin membimbangkan” dalam komuniti itu sejak bulan lalu.

Penyelaras Pusat Prihatin Orang Asli (COAC), Colin Nicholas berkata jumlah kes Covid-19 dalam komuniti Orang Asli meningkat lebih 10 kali ganda daripada 287 kes pada 20 Julai kepada 3,293 kes pada 20 Ogos lalu.

Sebanyak 19 kematian akibat Covid-19 turut dicatatkan setakat 20 Julai lalu.

Nicholas berkata, tambahan 27 lagi Orang Asli meninggal dunia sejak itu, menjadikan keseluruhan kematian Covid-19 dalam kalangan Orang Asli meningkat kepada 46 kes.

Colin Nicholas.

“Sukar untuk mencari angka sebenar, tetapi apa yang tidak dapat dinafikan ialah ia (Covid-19) kini tersebar luar di luar bandar dan semakin meningkat di kampung pedalaman juga,” katanya dalam catatan di Facebook sambil menambah itu adalah jumlah minimum atau “lower-end”, anggaran.

Beliau berkata, majoriti kes Covid-19 dari kampung di pinggir luar bandar, yang Orang Asli mempunyai akses ke pusat pekerjaan.

Nicholas menjelaskan datanya diperoleh daripada kemas kini harian Kementerian Kesihatan, maklumat dari laman web Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), rundingan dalam pelbagai kumpulan Orang Asli serta komunikasi langsung dengan mereka yang mengendalikan situasi Covid-19 dalam komuniti Orang Asli.

Tetapi, beliau mendapati data mengenai Orang Asli tidak selalu dikategorikan dengan betul, dengan ada kluster Orang Asli turut termasuk individu bukan Orang Asli dan warga asing.

Sekurang-kurangnya 60 perkampungan Orang Asli dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak pandemik itu bermula.

Nicholas berkata, kampung berhampiran ladang mempunyai risiko lebih tinggi dijangkiti virus daripada pekerja ladang dan kluster Pos Brooke serta Terisu berpunca daripada kebun sayur di Cameron Highlands.

Orang Asli yang positif Covid-19 pulang ke kampung mereka atas pelbagai alasan – termasuk menghadiri upacara pengebumian atau melarikan diri daripada kuarantin – menjadi punca beberapa kluster tercetus akibat kontak rapat dengan penduduk sekampung.

Beliau mendapati hubungan erat komuniti Orang Asli – yang menyebabkan penjarakan fizikal di dalam kampung “hampir tidak dapat diamalkan” – ialah satu lagi faktor di sebalik penularan pantas virus itu.

Nicholas menjelaskan faktor lain penularan termasuk beberapa komuniti nampaknya kurang berwaspada dengan membenarkan orang luar masuk ke kawasan mereka tanpa kebenaran.

Katanya, sesetengah individu bukan Orang Asli, termasuk mereka yang belum divaksin, juga tidak nampak bahaya memasuki kawasan Orang Asli. Dalam sekurang-kurangnya satu kes, dua orang luar melanggar SOP dengan memancing ikan di kawasan pedalaman Orang Asli.

“Bagaimanapun, melihat keadaan Covid-19 semakin teruk dalam negara, masyarakat Orang Asli mula mengehadkan kemasukan pelawat luar yang tidak perlu ke kampung mereka.

“Dan bagi mereka yang boleh berbuat demikian, mereka kembali kepada strategi pengasingan dan berundur – yang berkesan ketika dua kali PKP mula dilaksanakan.”

Nicholas berkata, “kadar vaksinasi agak rendah” dalam masyarakat Orang Asli turut menyumbang kepada peningkatan kematian dan kes perlu dirawat di hospital.

Tetapi, beliau mendapati lebih banyak komuniti Orang Asli kini terbuka kepada vaksinasi akibat peningkatan kempen maklumat mengenai vaksin dan mereka melihat sendiri kesan “kehancuran pantas” virus itu.

Dengan memuji pihak berkyasa, Nicholas berkata, peningkatan sebanyak 337% dalam jumlah Orang Asli yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin sejak bulan lalu – dengan 76,075 Orang Asli menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Pfizer atau Sinovac sejak itu.

Katanya, jumlah itu adalah 52.8% daripada keseluruhan (144,180) Orang Asli yang layak sudah divaksin.

Beliau bimbang jika virus itu menular ke kampung pedalaman yang lebih jauh, kadar kebolehjangkitan lebih tinggi dan amat sukar untuk merawat, membendung serta menyokong komuniti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.