Ajak doktor swasta dalam pusingan akhir vaksinasi, kata MMA

Ajak doktor swasta dalam pusingan akhir vaksinasi, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, kebanyakan orang mendapati lebih senang ke doktor swasta untuk vaksinasi kerana mereka dekat dengan komuniti dan tidak sesak.

MMA berkata, penyertaan doktor swasta akan banyak membantu kerana vaksinasi untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan bermula tidak lama lagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan mempelawa 8,000 doktor swasta di seluruh negara untuk menyertai pusingan akhir Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy membuat gesaan itu dengan mempertimbangkan lebih 50% penduduk negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat ini.

Katanya, disebabkan kadar vaksinasi sudah meningkat sekarang, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sepatutnya menghentikan operasi pusat vaksinasi mega dan membenarkan doktor swasta mengendalikan pusingan akhir PICK.

Pada masa sama, katanya, kerajaan boleh mengukuhkan sumbernya di kemudahan kesihatan awam.

“Kebanyakan orang mendapati lebih senang ke doktor swasta untuk vaksinasi mereka kerana klinik swasta dekat dengan komuniti dan tidak sesak,” katanya dalam kenyataan.

“Ia juga pilihan utama rakyat kerana perkhidmatanya bersifat peribadi. CITF sepatutnya meningkatkan dan bukan mengehadkan pembabitan doktor swasta dalam fasa program imunisasi negara ini.”

Subramaniam turut bingung kenapa CITF tiba-tiba memutuskan untuk menghentikan janji temu vaksinasi di 741 klinik swasta, beberapa hospital swasta dan pusat rawatan bergerak di Selangor.

Katanya, kemudahan kesihatan ini hanya diberikan notis 48 jam oleh CITF.

“CITF sepatutnya menggalakkan lebih ramai doktor swasta untuk turut serta. Terdapat 741 klinik swasta di Lembah Klang yang menyertai PICK (250 di KL dan 491 di Selangor).

“Dasar mengetepikan doktor swasta secara tiba-tiba apabila tidak diperlukan bukan petanda baik dan tidak menggalakkan doktor swasta lain untuk turut serta.”

Beliau berkata, CITF juga sepatutnya mengubah sistem tempahan vaksinasi AstraZeneca untuk membenarkan orang ramai memilih klinik pilihan mereka.

“Setiap klinik mungkin mempunyai kapasiti vaksinasi tersendiri. Dengan sistem demikian, pelaksanaan dan janji temu lebih mudah serta diselaras dengan baik.

“Vaksinasi untuk mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun tinggal tiga minggu lagi, jika doktor swasta akan turut serta, seperti yang dikatakan ketua pengarah kesihatan, ia perlu dirancang sekarang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.