Jangan terlalu yakin walaupun situasi nampak OK, kata pakar kesihatan

Jangan terlalu yakin walaupun situasi nampak OK, kata pakar kesihatan

Pembukaan sektor ekonomi dan sosial yang meluas berpotensi mewujudkan kluster lebih besar tanpa pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat.

Pakar kesihatan berkata, penurunan bilangan kes di Lembah Klang juga tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain kerana strategi dan pengesanan kontak yang berbeza.
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan awam mengingatkan supaya kerajaan dan rakyat tidak berasa terlalu yakin dengan pembukaan lebih banyak sektor, walaupun situasi nampak memberangsangkan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun pelbagai pihak beranggapan liputan vaksinasi negara sudah baik, ia bukan perlindungan penuh daripada jangkitan Covid-19.

“Masih ada golongan dewasa yang belum diberi vaksin dan hampir 9 juta kanak-kanak bawah 18 tahun tidak menerima vaksin. Ini juga adalah sumber jangkitan berpotensi besar,” tegasnya.

Kegusaran itu selari dengan amaran oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam bahawa banyak tempat dibuka bukan atas faktor keselamatan yang semakin baik, sebaliknya didorong faktor ekonomi.

Terdahulu, Perdana Menteri Sementara Muhyiddin Yassin mengumumkan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada sektor sosial dan ekonomi bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), termasuk makan di premis restoran bagi individu lengkap divaksin bermula hari ini.

Kelonggaran itu diberikan selepas lebih 50% daripada populasi dewasa negara lengkap vaksinasi.

Mengulas lanjut Zainal berkata, penurunan bilangan kes di Lembah Klang juga tidak boleh dibandingkan dengan negeri lain kerana strategi dan pengesanan kontak yang berbeza.

“Ini bermakna jangkitan dalam komuniti di Lembah Klang dan negeri tersebut memang besar. Semua kadar yang ditunjukkan masih terlalu awal dan ringkas,” katanya.

Lembah Klang yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 8,640 jangkitan baharu Covid-19 semalam daripada 22,948 kes di seluruh negara. Ini adalah rekod tertinggi yang dicatatkan negara sejak wabak Covid-19 melanda awal tahun lalu.

Zainal, yang juga bekas pengarah kesihatan Pahang, turut menegaskan, pembukaan sektor ekonomi dan sosial yang meluas berpotensi mewujudkan kluster lebih besar jika tiada pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat.

“Ini akibat kewujudan pelbagai varian yang lebih ganas dan mudah berjangkit. Kita mesti terus berhati-hati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.